Wednesday, 9 April 2014

BERJAGA-JAGA



Pintu bertutup Bukan Kerana Sombong
Kira-kira 20 tahun lalu atau lebih, kebanyakan pintu rumah di kampung-kampung dibiarkan terbuka. Kini, boleh dikatakan kesemuanya bertutup rapat. Ada yang tingkap pun sentiasa tutup. Inilah persamaan keadaan kampung dan bandar sekarang. 
Kenapa? Keadaan ini berlaku kerana terlalu ramai yang 'bertandang.'  Mereka didatangi  para tetamu yang tidak diundang iaitu jurujual-jurujual persendirian serta dari  bermacam-macam syarikat.
Bukan hanya “Mak Cik” yang menjual minyak angin, belacan, tikar dan kerepek sepertimana 20 tahun lalu.  Ada yang menjual barangan letrik, membuat ‘tinjauan’ gas atau air, memberi sesi refleksologi ‘percuma’ dan yang paling popular wakil-wakil peraduan “gores dan menang”.
Selain itu, ada pula banyak kes-kes penipuan terutamanya di kalangan suri rumah dan warga tua. Ada yang dirompak. Ada yang menyamar sebagai wakil Jabatan Kebajikan, Tabung Haji, pejabat kesihatan dan macam-macam. Maka, kecohlah satu kampung, 'Man cik Piah' kena tipu, buku bank diambil dan duit simpanan dikeluarkan. 'Mak Cik Jah' kena pukau, duit RM2,000 dan barang kemas habis diserahkan pada orang yang kononnya wakil kerajaan yang datang mahu membantu.
Keadaan ini menyebabkan, jiran-jiran di kampung bukan saja  was-was malah TAKUT, apabila didatangi orang asing bertanyakan rumah seseorang.  Ini kerana keramahan dan kebaikan masyarakat kampung  disalah gunakan golongan yang berniat jahat.
 Berikutan  itu, terdapat pemimpin di kampung-kampung yang berpesan agar tidak membantu orang asing yang bertanyakan arah rumah seseorang, jalan dan sebagainya. Jika ditanya, jawab saja "tak tahu."
Tindakan sebegini memang ganjil di kalangan masyarakat kampung. Selalunya, mereka akan menjawab apabila ditanya dan membantu apabila diminta. Amalan seumpama itu sudah jadi darah daging, memang sukar untuk menjawab 'tak tahu' bagi sesuatu yang mereka tahu.
Telah banyak kejadian luar jangkaan dan tidak diingini berlaku. Dibantu salah, tidak ditolong pun salah. Masing-masing rasa serba salah dan dalam ketakutan.

No comments:

Post a Comment