Wednesday, 9 April 2014

WANITA BERJAYA, LELAKI TERCABAR

Ini pun salah satu penyakit juga

Bilangan wanita yang menjawat jawatan tinggi dalam sektor awam dan swasta semakin bertambah. Siaran Berita di televisyen sebentar tadi pun, paparkan Perdana Mentari yang menyebut tentang kejayaan dan kemampuan wanita di negara ini.

Tapi rata-rata, masih ramai lelaki yang tak boleh terima hakikat bahawa wanita juga mampu jadi ketua dan pemimpin walaupun Malaysia dah lebih 50 tahun Merdeka.

http://images.sodahead.com/polls/002274333/4913265543_male_chauvinism_xlarge.jpegNegara ni dah terkenal dengan banyak pencapaian. Dikenali di mata dunia dah! Pencapaian kaum Hawa di negara ni pun dah terbukti. Kemampuan Muslimah memang nyata. Jadi tidak hairanlah wujudnya kata-kata “tangan yang menghayun buaian itu boleh menggoncangkan dunia.” Kalau di zaman dulu pun sudah diperkatakan tentang kemampuan wanita, apatah lagi masa kini.

Saya bukanlah feminist. Bukan juga mahu membanggakan kemampuan wanita atau hendak mempersoalkan kemampuan lelaki. Allah s.w.t.memberikan kelebihan pada setiap insan sama ada kaum Adam mahupun Hawa. Jadi terimalah hakikat jika ada wanita yang lebih bijak dan layak. Dan sebagai wanita, hendaklah tahu membeza kadudukan kita yang berbeza ketika di pejabat dan di rumah. Bagi saya, sejauh mana kemampuan wanita itu, pada situasi tertentu wajib kita rujuk semula asas agama

Dengki khianat adalah satu sifat yang patut dibuang jauh-jauh. Jangan terlintas di fikiran sekalipun. Namun itulah yang rata-rata dapat di lihat dalam masyarakat kita. Sudah jadi penyakit! Penyakit yang parah…

Banyak berlaku-- lelaki “mencari pasal” di kalangan lelaki, wanita pula dengan kaumnya. Namun, tidak kurang juga lelaki “mencari pasal” dengan kaum Hawa?

Umum mengetahui, kaum Hawa kini lebih ramai daripada lelaki. Namun, rata-rata golongan lelaki masih mendominasi banyak aspek terutamanya sektor pekerjaan. Bayangkanlah sekiranya ada beberapa orang lelaki bersekongkol hanya kerana tidak senang melihat kaum Hawa yang lebih berkelulusan, berkemampuan berkelayakan dan berjaya.

Mereka tidak senang, lantas meracuni fikiran pelbagai pihak, bawahan dan atasan terutamanya yang juga diterajui oleh lelaki. Nasib kaum wanita akan terbela jika racun yang disuntik tidak meresap, tetapi apa akan berlaku jika ia meresap… ingat, mereka sesama lelaki.

Itulah yang terjadi lazimnya... sejauh manapun kemampuan wanita, walaupun telah terbukti, terdapat golongan Adam yang tidak senang malah cuba pelbagai cara menganggu “periuk nasinya”. Lebih malang, pihak atasan memihak kepada LELAKI… Tidak tahan dengan fitnah dan tohmahan wanita tersebut terpaksa angkat kaki. Memang kata orang “berani kerana benar” tapi terlaratkah bertahan dengan pelbagai tekanan?

PENYAKIT MASYARAKAT

Segalanya bukan perkara-perkara baru.

Tidak senang melihat jiran berkereta baru, perabut baru, disukai ramai dan anak-anak orang berjaya.

Suka mereka-reka cerita, menokok tambah yang sebesar busut jadi gunung sehinggakan menjadi punca perbalahan.

Fitnah-memfitnah jadi sebahagian hidup. Yang miskin dihina, Yang kaya diagung-agungkan.

Saudara mara hanya memandang harta dunia. Wang ringgit jadi kebanggaan.
Anak orang dipuji, anak sendiri dikeji. Tidak pernah bersyukur, hanya nampak ‘kelebihan’ orang walaupun tidak seberapa.

Anak-anak membentak, menengking herdik ibu bapa dan ada yang tidak mempedulikan ibu bapa.

Jika beginilah keadaannya, bayangkan keadaan masyarakat di negara ini, di masa depan, mungkin 10 atau 20 tahun lagi. Macam mana pula tahun-tahun seterusnya?

Ini bukan sahaja berlaku di bandar-bandar. malah di luar bandar.
Macam mana nak selamatkan keadaan ini? Bagaimana nak pupuk semangat kejiranan, merapatkan sanak saudara serta handai taulan dan mengembalikan keharmonian masyarakat sepertimana berpuluh-puluh tahun dulu?

FIKIR FIKIRKANLAH!

Rata-rata, kita dapati, acara-acara dan ceramah-ceramah yang dianjurkan di mana saja lebih menekankan soal ibadah, malah ada yang barbaur politik (secara tidak langsung). Malah di sesetangah tempat, jarang atau tidak pernah sekali pun menyentuh soal kejiranan, keburukan dan dosa daripada tabiat fitnah-memfitnah, mengumpat, hasad dengki dan seumpamanya.
Kenapa tidak? Sedangkan sifat-sifat baik dan buruk tersebut adalah penting dalam agama.

Selagi tabiat buruk itu masih menular dan tidak bendung, selagi itulah masyarakat akan porak peranda. Tidak mustahil, akan hancur suatu hari kelak.
Malaysia sudah lama MERDEKA. Malaysia bukan saja sudah membangun dan maju malah rakyat Malaysia sudah ke angkasa. Tapi, perlu disedari, masih ramai rakyat Malaysia yang TIDAK MERDEKA fikiran dan amalannya.

MACAM-MACAM PERANGAI PENUMPANG KERETAPI

Pengalaman Semalaman Dalam Tren
“Encik, boleh tolong tutup pintu?” lelaki itu hanya menoleh dan terus berlalu.
Itulah kisah saya kali ini. Saya sering juga naik kereta api sama ada untuk ke Butterworth, ke Kelantan atau sebaliknya.

Pengalaman saya ketika menaiki keretapi dari Kota Bharu ke KL.  Seperti biasa, saya travel dalam koc yang berkatil.
Ketika membeli tiket, saya dapati, tiket untuk katil saya dan rakan saya adalah yang dua terakhir untuk katil bawah, maksudnya di tepi pintu. Tempat yang paling menguja kesabaran saya.
Seperti yang kita tahu (bagi mereka yang pernah naiki keretapi), pintu di satu hujung koc adalah automatik dan yang satu lagi manual.
Jadi bayangkanlah, apabila berselindung di sebalik tirai katil, cuba memejamkan mata tetapi kerap kali diganggu bunyi bising dari luar.
Sebabnya - para penumpang yang lalu-lalang hanya TAHU untuk membuka pintu itu tapi TAK TAHU menutup setelah melepasinya.
Nak dikatakan tidak ada notis dari pihak KTM, notis terpampang di kedua-dua belah pintu. Malah terdapat DUA notis, dalam DUA saiz berbeza dan DUA bahasa (Melayu dan Inggeris), mengingatkan penumpang agar PASTIKAN menutup pintu. Tidak cukup besarkah notis itu? Perlukah KTM meletakkan notis yang berkelip-kelip agar penumpang nampak???
Bagi saya, ini bukan salah atau kelemahan KTM, tetapi PENUMPANG. Tidak adakah rasa tanggungjawab terhadap penumpang lain? Atau apakah mereka hanya tahu untuk buka pintu dan tidak tahu tutup, sama ada pintu rumah, pejabat atau kereta?

HAKIKATNYA dan POKOK PANGKALnya, mereka hanya pentingkan diri sendiri. Lebih menyakitkan hati, apabila saya meminta beberapa orang yang lalu lalang agar menutup pintu, mereka hanya menoleh dan terus berlalu. Ini termasuklah pekerja yang menjual makanan dan yang menjaga kebersihan tren itu..
Bagi saya, itu bukan lagi tidak bertangggung jawab tapi …entahlah saya sendiri tidak tahu apakah jenis manusia yang bersikap sedemikian.
Bayangkanlah, perjalanan belum sampai 1 jam, sudah 22 kali saya TERPAKSA bangun dari katil untuk tutup pintu. Yang peliknya, pada pengamatan saya, orang asing tidak pula lupa nak tutup pintu…

Memang, Sabar itu separuh dari Iman, tapi jika setiap kali naik keretapi dan dapat katil berhampiran pintu, serta terpaksa melalui pengalaman sama, larat ke nak sabar?
Saya pun mencapai buku nota, marker merah dan hitam (memang sentiasa saya bawa semasa kerja) lalu menulis satu nota lagi yang lebih besar. Seperti biasa, saya menggunakan plaster (untuk luka) untuk melekatkan notis itu di cermin pintu
Hanya selepas itu, barulah keadaan agak aman sedikit. Mungkin “kebutaan” mereka menjadi lebih celik.

Bukanlah sekali saya pernah berbuat demikian malah beberapakali. MAAFKAN SAYA KTM kerana melekatkan notis itu.

BERJAGA-JAGA



Pintu bertutup Bukan Kerana Sombong
Kira-kira 20 tahun lalu atau lebih, kebanyakan pintu rumah di kampung-kampung dibiarkan terbuka. Kini, boleh dikatakan kesemuanya bertutup rapat. Ada yang tingkap pun sentiasa tutup. Inilah persamaan keadaan kampung dan bandar sekarang. 
Kenapa? Keadaan ini berlaku kerana terlalu ramai yang 'bertandang.'  Mereka didatangi  para tetamu yang tidak diundang iaitu jurujual-jurujual persendirian serta dari  bermacam-macam syarikat.
Bukan hanya “Mak Cik” yang menjual minyak angin, belacan, tikar dan kerepek sepertimana 20 tahun lalu.  Ada yang menjual barangan letrik, membuat ‘tinjauan’ gas atau air, memberi sesi refleksologi ‘percuma’ dan yang paling popular wakil-wakil peraduan “gores dan menang”.
Selain itu, ada pula banyak kes-kes penipuan terutamanya di kalangan suri rumah dan warga tua. Ada yang dirompak. Ada yang menyamar sebagai wakil Jabatan Kebajikan, Tabung Haji, pejabat kesihatan dan macam-macam. Maka, kecohlah satu kampung, 'Man cik Piah' kena tipu, buku bank diambil dan duit simpanan dikeluarkan. 'Mak Cik Jah' kena pukau, duit RM2,000 dan barang kemas habis diserahkan pada orang yang kononnya wakil kerajaan yang datang mahu membantu.
Keadaan ini menyebabkan, jiran-jiran di kampung bukan saja  was-was malah TAKUT, apabila didatangi orang asing bertanyakan rumah seseorang.  Ini kerana keramahan dan kebaikan masyarakat kampung  disalah gunakan golongan yang berniat jahat.
 Berikutan  itu, terdapat pemimpin di kampung-kampung yang berpesan agar tidak membantu orang asing yang bertanyakan arah rumah seseorang, jalan dan sebagainya. Jika ditanya, jawab saja "tak tahu."
Tindakan sebegini memang ganjil di kalangan masyarakat kampung. Selalunya, mereka akan menjawab apabila ditanya dan membantu apabila diminta. Amalan seumpama itu sudah jadi darah daging, memang sukar untuk menjawab 'tak tahu' bagi sesuatu yang mereka tahu.
Telah banyak kejadian luar jangkaan dan tidak diingini berlaku. Dibantu salah, tidak ditolong pun salah. Masing-masing rasa serba salah dan dalam ketakutan.

GURU- MENDIDIK ATAU MENGAJAR?


https://ctools.umich.edu/access/content/user/balkhafa/Public%20Portfolio%20Files/learn%20logo.jpg 

Tudinglah Jari Ke Arah Diri Sendiri
Masalah akhlak remaja kini bukanlah sesuatu yang asing di negara ini. Ada yang salahkan ibubapa, guru-guru juga kena tempiasnya. Ada pula yang menyalahkan perkembangan pesat dunia tanpa sempadan, masing-masing menuding jari sesama sendiri..

Kalau dibandingkan dengan zaman dahulu, guru-guru sekarang boleh dikatakan bernasib baik. Mereka jarang dipersalahkan jika timbul masalah moral pelajar, kalau adapun hanya tempias saja. Guru-guru terdahulu dilihat sebagai bertanggungjawab langsung terhadap para pelajar.
Ini kerana dulunya, guru-guru diamanahkan bukan saja untuk mengajar tetapi mendidik. Tidak keterlaluan jika dikatakan budaya mendidik kini semakin terhakis bukan sahaja di kalangan guru-guru malah ibubapa. 

Prof Khoo Kay Kim, pernahmenyatakan bahawa kanak-kanak sekarang bukan dididik tetapi diajar. Masing-masing nak score A dalam peperiksaan.
Belaiu bukanlah orang pertama berkata demikian, dan itu bukanlah kali pertama kita mendengar perkara seumpama itu.

Justeru, saya terpanggil untuk menyiarkan coretan ini yang telah lama saya simpan. Mungkin ada pihak yang tidak senang hati dengan kenyataan seumpama itu. Apapun, tepuk dada tanya selera atau siapa makan cili dia yang rasa pedasnya.

Lihat dan kaji - kalau berdasarkan keputusan peperiksaan, ramai pelajar yang cemerlang dalam akademik. Adakah kerana sistem pendidikan yang lebih baik, peperiksaan yang mudah atau tahap kepintaran kanak-kanak yang meningkat? Peratusan yang cemerlang dalam akademik sepatutnya memberi gambaran kecemerlangan dalam bidang kehidupan. Bukankah begitu?

Umum beranggapan, guru-guru di sekolah mendidik dan membimbing pelajar untuk berjaya dalam kehidupan. Ibu bapa pula sentiasa memperingati anak-anak supaya berkelakuan baik, mematuhi guru-guru serta belajar bersungguh-sungguh. Terdapatkah ibu bapa yang mahu anaknya gagal dalam pelajaran dan kehidupan?

Tugas mengajar mungkin terletak pada guru, tetapi mendidik terletak kepada semua pihak termasuk ibubapa, guru, ahli keluarga dan masyarakat.

Pernah saya terdengar rungutan seorang guru mengenai masalah pelajarnya, serentak menyalahkan ibubapa. Pelajar bukan tanggungjawabnya, kerana beliau ‘banyak kerja lain’ seperti ‘terpaksa’ menjadi ahli jawatankuasa surau dan kantin serta menghadiri mesyuarat selepas waktu sekolah.

Jadi, kalau rasa tugas guru sudah terlalu ‘banyak kerja’, cubalah di sektor swasta. Tugas seseorang tidak terbatas kepada tugas hakiki jawatan yang disandang saja. Bak kata orang, setiap pekerja harus tahu ‘multi-tasking’ atau jadi ’jack of all trade.’ Mesyuarat hingga lewat malam atau bekerja di hujung minggu, memang perkara biasa.